17 Januari 2010

Pentadikaan Ilyaas


Belum lagi cukup umur Ilyaas 4 tahun, Ilyaas dah masuk tadika. Abah dulu masuk tadika masa umur abah 6 tahun, itupun tak 'graduate' pasal berjangkit kena demam campak dengan budak tadika lain, terus fobia nak masuk balik tadika untuk meneruskan pengajian hingga tamat.

Seperti yang telah mak dan abah duga, pada hari pertama Ilyaas di Tadika An-Najaah, Bandar Baru Selayang, Ilyaas mengalami kesukaran untuk berpisah dan ditinggalkan ditempat yang baru. Segala usaha untuk memujuk rayu dan menarik minat Ilyaas untuk turut duduk bersama kanak-kanak yang lain, ternyata amat menggagalkan sekali. Namun, tindakan nekad harus diambil...

Hari pertama, Ilyaas menjadi penunggu setia di muka pintu dengan tangisan dan esakan yang seakan ketiadaan penghujungnya, mengharapkan mak atau abah muncul untuk membawa Ilyaas pulang.

Makan minum diabaikan... malah aktiviti kesukaan Ilyaas, iaitu bermain, pun turut tergendala seharian. Sehinggalah mak muncul semula di penghujung hari pertama pentadikaan Ilyaas, lalu membawa Ilyaas ke restoran McD's yang berhampiran, hanya untuk menyaksikan Ilyaas yang kelaparan, menjamah mesra dengan penuh keseleraan menghabiskan segala makanan yang dipesan.

Hari kedua, agak lebih baik dari sebelumnya, bilamana Ilyaas masih lagi menangis apabila mak menghantar Ilyaas ke tadika. Tetapi Ilyaas tidak lagi menjadi model yang menghiasi muka pintu pada hari kedua ini. Tempat Ilyaas digantikan pula dengan seorang kanak-kanak yang tidak abah kenali. Ilyaas sudah boleh duduk diam di sebelah dalam, tetapi masih belum duduk bersama dalam satu kelas dengan kanak-kanak lain untuk belajar. Hari kedua ini juga menyaksikan bagaimana seorang guru boleh memakaikan kain lampin pakai buang Ilyaas secara terbalik.

Hari ketiga, Alhamdulillah, Ilyaas sudah boleh menerima persekitaran Ilyaas yang baru. Ilyaas juga sudah boleh menjamah hidangan tengahari yang disediakan.

Dan hari-hari yang seterusnya, Ilyaas masih belum ada keinginan untuk duduk belajar bersama kanak-kanak yang lain. Ilyaas menjadi penunggu setia di satu ruang pemisah yang Ilyaas ciptakan sendiri.

Ketika kanak-kanak lelaki dan perempuan diasingkan tempat makan masing-masing, Ilyaas tanpa segan silu makan bersama kakak sepupu Ilyaas, Kak Humaira'. Tak mengapalah... yang penting Ilyaas mesti makan.

1 ulasan:

Bento Sensei berkata...

teruskan berkisah mengenai anak2 anda di sini..sekurang-kurangnya anda mempunyai 1 memori yg blh dirujuk bila2 masa..Gud luck=)