29 November 2009

Kenduri Kahwin di Kota Damansara

Pulang dari Kuala Kangsar, terus ke Dewan Komuniti Seksyen 7, Kota Damansara untuk menghadiri majlis perkahwinan adik kepada seorang rakan.

Suap apa saja...


Apsal memasing ni nak jadi model tayang makanan pulak nih...


27 November 2009

Sepetang di Taman Rekreasi Kuala Kangsar

Banyak permainan yang disediakan di Taman Rekreasi Kuala Kangsar ini tetapi kebanyakannya sudah boleh dikatakan usang.





24 November 2009

Ilyaas terlelap


Dengan hanya 'berbantalkan' bahunya, Ilyaas terlelap ketika menonton cerita Ben 10.

12 Oktober 2009

Ilyaas Demam


Ilyaas mula demam lebih kurang pada waktu tengahari semalam.

Apabila malam, suhu badannya mencecah hampir 40 darjah celsius.

Walaupun telah dimandikan dan dibasahkan kepalanya, suhunya masih tidak turun.

Ilyaas mulai meracau.

Memandangkan tiada lagi klinik swasta yang masih dibuka, Ilyaas segera dibawa ke Unit Kecemasan, Hospital Selayang.

Doktor memasukkan 2 biji ubat demam melalui lubang dubur Ilyaas dan badan Ilyaas dilap untuk membantu menurunkan suhu badannya.

Selang setengah jam kemudian, suhu badan Ilyaas telah turun dan doktor membenarkan Ilyaas pulang.

Walaupun telah dimasukkan dua biji ubat semasa di hospital, suhu badan Ilyaas kembali naik.

Ilyaas menolak untuk meminum ubat antibiotik, selsema dan demam secara sukarela. Apabila dipaksa juga, Ilyaas akan memuntahkan ubat itu kembali dan turut membuatkan Ilyaas termuntah-muntah.

Sehingga ke pagi, Ilyaas tidak senang tidur. Sekejap nak selimut, sekejap tak nak selimut. Sekejap tidur dalam bilik, kemudian tidur di ruang tamu pula.


25 Julai 2009

Amirah 1 Tahun - Makan didahulukan, Bermain diutamakan

Semalam genap usia Izyaan Amirah Husna satu tahun pada jam 6.27 petang.

Dalam masa setahun, Amirah telah berjaya menambahkan berat badannya sehingga 10.3 kilogram, menumbuhkan 7 batang gigi, berdiri tanpa berpaut kemudian berjalan, memanjat sekali sekala dan hanya botak sekali.

Satu pencapaian yang membanggakan buat anak abah ...TAHNIAH AMIRAH!

11 Julai 2009

Persembahan 'Gaya Imbangan' Amirah

oop... oop...

eh eh... ke depan pulak

ok..steady..

TA DAA!!!


Terima kasih kepada pihak-pihak penaja yang telah menjayakan persembahan ini:

KFC Holdings (M) Sdn Bhd - Lokasi Persembahan
Pn. Norizah - Kasut Persembahan

06 Julai 2009

Ilyaas tak nak bergambar...



...tapi nak ambil gambar.

Itulah perangai terbaru Ilyaas semasa bercuti di Cameron Highland pada 4 dan 5 Julai yang lepas.

Nak bergambar satu keluarga bukan main payah. Bila didukung, Ilyaas meronta-ronta marah nak turun.

Disuruh pandang kamera, dia pandang ke lain, tak pun serbu cameraman pasal dia nak pegang kamera tu sendiri tuk ambil gambar.


Amirah terpaksa tolong pegang kepala Ilyaas supaya Ilyaas pandang ke depan.

16 Jun 2009

Gigi Amirah


Setelah sepuluh bulan, akhirnya Amirah bergigi!

Gigi pertama Amirah dikesan pada hari Sabtu, 6 Jun 2009 ketika di rumah opahnya dan gigi kedua pada 13 Jun 2009 di rumah sendiri.

Semoga dengan gigi-gigi lain yang bakal tumbuh, akan lebih memudahkan lagi Amirah mengunyah apa jua makanan yang disuapkan (memang tak pernah menolak) dengan lebih berkesan.

18 Mei 2009

Amirah menghidap HFMD

Malam tadi Amirah tidak berhenti-henti menangis. Amirah menghadapi masalah untuk menyusu badan menyebabkan perutnya kosong berangin dan terkentut beberapa kali.

Bila diperiksa, terdapat bintik-bintik merah di didalam mulut Amirah. Mungkin Amirah berasa pedih bila dia cuba menghisap dan menelan susu.

Bintik-bintik merah yang berair juga terdapat di tangan, kaki, sekitar punggung dan bibir Amirah.

Pagi ini Amirah dibawa ke Klinik Taman Ehsan untuk pemeriksaan.

Setengah jam menunggu untuk mendapatkan nombor giliran dan sejam menunggu sebelum tertera nombor giliran masuk ke bilik doktor.

Doktor mengesahkan Amirah dihidapi penyakit kaki, tangan dan mulut dan perlu dikuarantin di rumah.

Mak maklumkan pada atuk & opah.

Atuk & opah cadangkan Amirah dikuarantin sahaja di kampung untuk menjalani proses penyembuhan.

Mak & abah setuju.

Di waktu petang, Amirah sudah boleh menyusu sedikit dan kurang meragam. Mungkin berpunca dari perut yang kosong dan mengantuk menyebabkan Amirah menangis dan marah tanpa henti sebelum ini.

Sebelum Maghrib, atuk & opah sampai di rumah.

Amirah, mak dan Ilyaas bersama atuk & opah bergerak meninggalkan abah keseorangan, menuju ke kampung halaman.

Jadi hingga setakat ini, Amirah pernah diwadkan kerana demam kuning, diwadkan sekali lagi kerana masalah paru-paru, menghidapi jangkitan di telinga kiri dan kanan sehingga bernanah, dan yang terbaru ini - penyakit kaki, tangan dan mulut.

Mak & abah doakan moga Allah menyembuhkan Amirah dan menjauhkan miyah una dan iyash dari segala macam jenis penyakit yang semakin banyak menular di negara kita sekarang ni.

Mungkin ini adalah ujian untuk Amirah...

...atau untuk abah & mak?

17 Mei 2009

Amirah demam

Dikala abangnya menggenapi usia 3 tahun, Amirah memulakan harinya dengan menerima kehadiran demam apabila bangun dari tidur di sebelah pagi.

Dengan lelehan air liur yang luarbiasa banyaknya mengiringi demam Amirah, dianggap sebagai petanda bahawa giginya mungkin akan keluar tidak berapa lama lagi.

Walaupun sudah mencecah usia hampir sepuluh bulan, tidak kelihatan walau seurat gigi pun yang terpacul dari gusinya.

Ilyaas 3 tahun


Ilyaas genap 3 tahun hari ini.

Mak belikan kek untuk Ilyaas. Kek yang ada patung watak kegemaran Ilyaas - 'Cacak-mamen' a.k.a Spiderman/Cicakman.

Ilyaas tak sabar-sabar nak buka plastik kek tu.

Bukan kerana lapar nakkan kek tu, tapi kerana nakkan cacak-mamen yang ada diatasnya.

"Ucapan Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran Ilyaas Ahmad Husaini yang ke 3 dari mak dan abah "

01 April 2009

Ilyaas meruam


Malam tadi, entah dari mana, timbul ruam-ruam di hampir keseluruhan badan Ilyaas.

Ketika itu Ilyaas sedang asyik bermain sehingga berpeluh-peluh kepalanya.

Ilyaas mula tergaru-garu kepalanya.

Ketika nak lap peluh Ilyaas tu dengan tuala, kelihatan ruam-ruam tersebut memenuhi dahi Ilyaas.

Menyangkakan ruam tersebut disebabkan peluh di kepala Ilyaas, maka tidaklah diperiksa seluruh badannya.

Kehadiran ruam di hampir keseluruhan badan Ilyaas hanya disedari ketika nak basuh berak Ilyaas.

Bila Ilyaas tanggal seluar dan diselak bajunya, kelihatan ruam-ruam yang menjalar di tubuh Ilyaas.

Pagi tadi, ruam tersebut telah hilang.

Namun Ilyaas masih tetap di bawa ke klinik untuk pemeriksaan.

Doktor kata ruam tersebut akan tenggelam timbul dalam masa seminggu ni.

Lepas seminggu ruam tersebut akan hilang sendiri.

Puncanya mungkin disebabkan alahan yang mungkin pula berpunca dari cacing.

Sekiranya ruam tersebut disertai dengan mata atau bibir yang membengkak, ia adalah ruam yang amat serius dan memerlukan rawatan segera.

Walaubagaimanapun, doktor telah mengklasifikasikan ruam yang dihadapi oleh Ilyaas sebagai Ruam Kaligata (Urticaria).

Maklumat dari InfoSihat : Ruam

23 Mac 2009

Amirah sihat sepenuhnya

Hari ini Amirah menjalani pemeriksaan susulan oleh Dr. Kamaruddin di klinik beliau di Hospital Pusrawi.

Sebelum menemui doktor, berat Amirah ditimbang.

8.45 kilogram. Turun dari 8.8 kilogram yang dicatatkan sebelum ini. Mungkin tak pekena 'Bubur Pusrawi' yang menyumbang kepada penurunan berat badan Amirah.

Alhamdulillah, doktor mengesahkan Amirah telah pulih sepenuhnya.

20 Mac 2009

Amirah keluar wad

Alhamdulillah, setelah berkampung selama lima hari di Wad Ar-Raihan, Hospital Pusrawi; Amirah dibenarkan pulang selepas keputusan pemeriksaan x-ray diperolehi pada waktu petang.

Batuk Amirah juga sudah berkurangan.

Amirah diperlukan menjalani pemeriksaan susulan oleh Dr. Kamaruddin pada hari Isnin nanti.


Kos rawatan :
RM1,844.40

Kesihatan & Senyuman Amirah :
PRICELESS!!

19 Mac 2009

Amirah hari ini

03.00 petang - Jururawat memaklumkan Amirah tidak perlu menjalani rawatan fisioterapi tengahari tadi, namun sebentar tadi jururawat menyatakan Amirah akan menjalani rawatan fisioterapi sebentar lagi sedangkan Amirah tidak berpuasa dua jam sebelum rawatan.

10.01 pagi
-
Amirah disahkan boleh balik ke rumah selepas menjalani pemeriksaan x-ray dan menerima suntikan antibiotik, tengahari esok.

9.20 pagi
- Berat badan Amirah dilaporkan telah meningkat ke 8.8 kilogram berbanding dengan 8.2 kilogram sebelum dimasukkan ke dalam wad.

4 hari sebelum Amirah dimasukkan ke dalam wad, beratnya adalah 8.5 kilogram. Ini menunjukkan catatan penurunan sebanyak 0.3 kilogram pada hari Amirah dimasukkan ke dalam wad.

* macam buat laporan saham la pulak

Peningkatan berat badan Amirah tersebut dikaitkan dengan trend penyusuan Amirah yang bergantung kepada sumber asli sepenuhnya di samping pengambilan bubur nasi kesukaannya dalam kuantiti yang banyak.

Amirah juga dilaporkan telah menjalani sesi fisioterapinya pagi tadi.

18 Mac 2009

Ijau... Jayaann!!


Sepanjang perjalanan menuju ke Pusrawi, tak sunyi dengan gelagat Ilyaas.

Pantang tiba kat persimpangan lampu trafik, walaupun lampu merah, disuruhnya juga abah jalan.

"ijau.. jayaan!!" laung Ilyaas.


Bila lampu trafik bertukar hijau, kereta yang di hadapan pun turut menjadi mangsa Ilyaas.

"ijau.. jayaan.. jayaan!! Yash ngok adik!! Jayaan..!! Jayaan!!
* Lampu hijau.. jalan.. jalan!! Ilyaas nak tengok adik!! Jalan..!! Jalan!!
___________________________________________________________

Hari ni Amirah kena menjalani sesi fisioterapi.

Fisioterapi ni, doktor sedut kahak-kahak yang terkumpul kat tekak Amirah tu.

Amirah pun belum pandai lagi nak buang kahak sendiri, sebab tu doktor sedutkan.


Masa doktor sedut tu, Amirah keluarkan bakat sebenar suara dia yang mampu menggegarkan 7 petala langit dan 7 petala bumi.

Sampaikan ibu-ibu yang dalam bilik pun terpaksa keluar dari bilik sebab nak tahu anak siapalah tu yang mempunyai suara unik tu.

Mungkin laungan Amirah tu didorong oleh ketiadaan maknya disisi berserta perutnya yang lapar pasal diarahkan berpuasa selama dua jam sebelum sesi tersebut.

Kesannya bukan sahaja menggegarkan petala langit dan bumi, tapi turut menggegarkan hati ibu-ibu yang mana anak mereka turut akan menjalani sesi fisioterapi selepas sesi Amirah selesai.

Ada yang sudah berkira-kira kembali sama ada ingin meneruskan sesi fisioterapi anak-anak mereka ataupun tidak. Memang dahsat anak abah ni...

Sesi fisioterapi ni diadakan dua kali sehari, di sebelah pagi dan tengahari nak masuk petang.

Lepas dari sessi fisioterapi tu, bila Amirah batuk dah ada kurang sikit kedengaran bunyi berkahak tu.

Cuma nafasnya dah macam tercungap-cungap. Maknya kata, sebelum sesi pertama fisioterapi tu lagi Amirah dah bernafas macam tu.

Doktor kata, hari Jumaat nanti Amirah kena x-ray balik untuk lihat keadaan dalam paru-paru dia.

InsyaAllah, hari Jumaat ni Amirah dah boleh balik ke rumah.

Setakat hari ini sahaja bil hospital dah cecah tujuh ratus lebih tak termasuk caj perkhidmatan doktor.

___________________________________________________________

Dalam perjalanan balik ke rumah, Ilyaas tumpahkan air minuman ke atas baju dia.

"juju.. juju..", kata Ilyaas untuk memberitahu yang Ilyaas nak tanggalkan baju dan seluarnya.


Senang dengan hanya memakai pampers, Ilyaas melompat-lompat keriangan dalam kereta sampai terhantuk kepala Ilyaas.

Kan abah dah kata duk diam-diam! nanti polis 'nee nong nee nong' nanti baru tahu!

17 Mac 2009

Ilyaas nak ikut mak

Balik dari kerja abah terus ambil Ilyaas di rumah mama (Kak Wi) dan terus bergerak menuju ke Hospital Pusrawi.


Hari ni Amirah dah tak demam lagi dah.

Mak cerita kat abah, mentang-mentang badan dah rasa sihat, Amirah tak mahu duduk diam langsung.

Macam tak cukup katil dibuatnya Amirah yang nak merayap ke sana sini dan tarik macam-macam benda.


Amirah kena ambil 2 jenis suntikan antibiotik selang beberapa jam.

Dari semalam sehingga ke tengahari ni, dah tujuh kali Amirah kena suntik dengan kakak jururawat tu.

Batuk Amirah masih lagi teruk bunyinya.

Ketika balik sehinggalah sampai di rumah, Ilyaas tak berhenti-henti meluahkan perasaannya...

"..nak ikut mak" "..nak ikut mak" "..nak ikut mak"

hinggakan bila Ilyaas dengar ada bunyi kereta di luar rumah, Ilyaas cakap, "..mak alik.." "..mak alik..".

Mak tidur ngan adik kat hospital la sayang...

16 Mac 2009

Amirah masuk wad

Setelah hampir sebulan Amirah batuk-batuk, sekejap demam sekejap tak demam serta mengalirkan hingus, Amirah dibawa ke Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak untuk berjumpa dengan Dr. kamaruddin, pakar sakit kanak-kanak.


Doktor mengesyaki Amirah dijangkiti kuman di dalam paru-parunya, lalu mengarahkan sinar-x dada Amirah di ambil untuk pengesahan.


Ketika Amirah ditemani maknya di dalam bilik sinar-x, Ilyaas meraung-raung nak masuk sekali ke dalam bilik, tapi petugas tu hanya benarkan Amirah dan maknya sahaja yang masuk.

Keputusan dari X-Ray tersebut :

---------------------------------------------------------------------

XRAY NO: 3442
DATE : 16.3.2009

CHEST (AP,SUPINE)
The heart is not enlarged
Normal pulmonary vascular markings
There is an opacity (arrowed) seen in the L mid zone and in view of clinical history may represent an area of pneumonic consolidation
The rest of the lungs are clear

Dr. Azizan Dato' Zainal Abidin
Radiologist
Hospital Pusrawi Sdn. Bhd.

---------------------------------------------------------------------

Abah pun tak paham apa maksud keputusan tu, tapi doktor cakap memang kompem ada jangkitan dalam paru-paru Amirah.

Demam Amirah juga mungkin berpunca dari masalah dalam paru-paru Amirah tu.

Maka jawabnya, kenalah Amirah masuk wad.

Lepas bayar deposit RM500 (masa Amirah masuk wad pasal demam kuning hari tu kena bayar deposit RM1000) Amirah pun masuk ke dalam Wad Ar-Raihan di tingkat 6.


Sebagai tanda kenang-kenangan, Amirah diberikan gelang sebelum memasuki bilik wad.

Memandangkan bilik 4 katil belum ada kosong, maka Amirah tumpanglah kejap dalam bilik 2 katil sebelum ada kekosongan di bilik 4 katil yang lebih murah.


Tangan Amirah juga kena balut.

Sebelum ni, bila abah tengok ramai kanak-kanak baya Amirah atau Ilyaas berbalut tangannya macam tu, abah ingat banyak kes tangan patah ke apa.

Rupa-rupanya balutan untuk melindungi tiub yang digunakan untuk menyuntik ubat.


Sama juga macam Ilyaas dulu, Amirah kena hirup gas untuk membantu melancarkan pernafasan.


Lepas hirup gas, makan ubat batuk pulak.

Marah Ilyaas bila tak dibagi berikan ubat batuk kat adik dia. Dia nak jugak tolong picitkan ubat batuk ke mulut Amirah.

Cuba kalau masukkan ubat ke dalam mulut Ilyaas, habis satu badan abah kena sembur balik ubat dengan Ilyaas.

Kak Wi (pengasuh Ilyaas & Amirah) sekeluarga datang menjenguk Amirah lepas waktu maghrib.

Malam ni mak tidur ngan Amirah kat hospital. Ilyaas ikut abah balik rumah.

14 Mac 2009

Amirah pakai tudung


Alahai comel dan manisnya anak abah ni... bukan main lebar sonyum eh

12 Mac 2009

Amirah panas kepala

Sama macam Ilyaas dulu, Amirah pun tak suka diletakkan kain basah atas kepala dia. Memang adik beradik sungguh dua orang ni.

07 Februari 2009

Ilyaas gigit jari



Entah dari mana Ilyaas dapat tabiat suka gigit kuku jari dia nih...

Bila ditegah, Ilyaas kata kuku jari Ilyaas panjang.. padahal baru je lepas potong.

26 Januari 2009

Ilyaas dan 'Thomas'nya

Pak Ngah Faisal belikan keretapi mainan untuk Ilyaas.

Ilyaas panggil keretapi/komuter sebagai 'Thomas' (merujuk kepada watak keretapi bernama Thomas dalam rancangan TV 'Thomas and Friends' yang diminati Ilyaas).

Ilyaas dan Damia asyik memerhatikan keretapi berpusing... sehinggalah...


...Amirah tiba.

25 Januari 2009

Amirah kacau Ilyaas tidur



Amirah suka tarik rambut Ilyaas.

Ilyaas pun suka Amirah tarik-tarik rambut Ilyaas... kecuali waktu Ilyaas tidur.

Amirah berguling



Dah seminggu dah Amirah dah boleh berguling.

Amirah masih lagi cuma boleh meniarap ke sebelah kanan dia, tapi boleh menelentang balik ke kiri atau kanannya.

24 Januari 2009

Kosa Kata Ilyaas : "Cigam"



"Cigam" = Tali pinggang

Ilyaas mengira

* Malam tadi kipas rosak, jadi Ilyaas tidur berpeluh-peluh sampai kebah demamnya.




_..2..3..4..5.._..7.._

23 Januari 2009

Ilyaas demam

Badan Ilyaas panas semacam. Bila cek pakai alat cucuk kat telinga Ilyaas, tak de bunyi amaran suhu badan melampau pulak.

Ilyaas melalak berterusan sampai muntah. Bila mak nak salin baju Ilyaas, terperasan ada bintik-bintik merah kat badan Ilyaas.

Ini pertama kali Ilyaas demam sampai mengeluarkan bintik-bintik merah.



Mak cadangkan bawa Ilyaas ke Klinik Pakar Kanak-kanak Dr. Chin di Desa Aman Puri.

Walaupun hampir setengah jam sebelum waktu klinik ditutup jam 10 malam, pesakit klinik masih begitu ramai.



Dr. Chin kata Ilyaas cuma mengalami demam biasa. Tapi perangai Ilyaas tak macam orang kena demam, Ilyaas main macam biasa (play play as usual).

17 Januari 2009

Amirah dibuai


Masa Ilyaas kecik-kecik dulu, tak pakai buaian. Letak je atas tilam atau toto, pepandailah Ilyaas tidur sendiri.

Yang si adiknya ni pulak, kalau tidur asyik nak berkepit je ngan maknya. Nyusu badan la katakan. Abah nak dodoikan pun tak mahu.

Jadi, maknya cubalah masukkan Amirah dalam buaian. Kalau Amirah boleh terima pembuaiannya tu, legalah sikit maknya, boleh lah buat kerja rumah sesikit.

Hasilnya, Amirah memang suka masuk buaian tu, tapi dia anggap buaian tu macam mainan je, bukan tempat tidur dia.

Kalau tertidur pun, dalam 15 minit camtu dia dah sedar balik.

11 Januari 2009

Selipar Baru Ilyaas


Ilyaas dapat selipar baru.

Selipar yang memaparkan karakter animasi 'Ben 10' bersaiz 11 tu mak yang belikan di pasar tani Taman Ehsan pagi tadi.

Sebelum ini abah ada belikan selipar 'Asadi' untuk Ilyaas, tapi bila Ilyaas dah pandai nak sarung sendiri selipar, kaki Ilyaas dah melebihi saiz selipar 'Asadi' tu.

Kasut 'Mickey' Ilyaas pun cuma saiz 10. Dah makin kecik untuk kaki Ilyaas yang sedang membesar. Sampaikan masa jalan-jalan kat Bandar Hilir, Melaka ari tu, terlecet kaki Ilyaas dibuatnya.

10 Januari 2009

Ilyaas @ taman permainan


Dah lama abah tak bawa Ilyaas main kat taman permainan.

Dulu Ilyaas kena dibantu kalau nak naik kuda tu. Skang ni mungkin Ilyaas dah makin tinggi, Ilyaas dah boleh naik dan turun sendiri.

06 Januari 2009

Sehari bersama anak-anakku

Hari ni abah jaga Ilyaas dan Amirah pasal Mama Wi hantar anak perempuan dia balik asrama.


Ilyaas bangun seawal 7.30 pagi. Sebaik keluar dari bilik, terus memanggil-manggil maknya. Lepas tu terus 'landing' kat sofa sambil termenung.

Si Amirah pulak... bukan main betul anak dara sorang ni... jam 10 pagi baru bangun.

Maknya ada pesan supaya berikan susu pada Ilyaas dan Amirah selepas mereka bangun. Yang jadi halnya, Amirah punya susu, Anmum Essential, tiada! Maknya dah belikan cuma terlupa nak keluarkan dari kereta, lalu dibawanyalah susu itu ke pejabat.

Kak Sidah tampil membantu membelikan susu Anmun Essential Langkah 1 (RM24.50) dan meminta Hassan menghantarnya ke rumah.

Terima kasih Kak Sidah & Hassan.


Sementara Hassan melayan karenah Ilyaas dan Amirah, sempat jugak basuh pinggan di dapur. Lepas tu layan tengok TV sampai mengantuk... tak leh nak tidur pasal hero dan heroin belum berhajat nak tidur lagi.


Akhirnya si hero kecundang. Si heroin mengikuti jejak abangnya beberapa minit kemudian.

05 Januari 2009

Ilyaas kupas limau


Setelah berhari-hari Ilyaas memerhatikan mak atau abahnya tolong kupaskan limau untuk Ilyaas, akhirnya Ilyaas berjaya mengupas limaunya sendiri.

Dalam sehari, tidak kurang dari tiga biji limau oren tanpa biji itu dijamah oleh Ilyaas.

03 Januari 2009

Amirah naik walker


Walaupun Amirah hanya pandai meniarap dan mengensot sedikit, tetapi perangai Amirah yang lebih suka berada dalam posisi tegak daripada telentang, membuatkan Amirah begitu 'natural' dan gembira sekali apabila dapat menaiki 'walker' yang pernah dipergunakan oleh Ilyaas.

Lihatlah wajah 'happy' semacam dia tu. Bebas nak bergerak ke sana ke mari sambil diiringi lagu-lagu dari kotak muzik 'walker' tersebut.