18 Mei 2009

Amirah menghidap HFMD

Malam tadi Amirah tidak berhenti-henti menangis. Amirah menghadapi masalah untuk menyusu badan menyebabkan perutnya kosong berangin dan terkentut beberapa kali.

Bila diperiksa, terdapat bintik-bintik merah di didalam mulut Amirah. Mungkin Amirah berasa pedih bila dia cuba menghisap dan menelan susu.

Bintik-bintik merah yang berair juga terdapat di tangan, kaki, sekitar punggung dan bibir Amirah.

Pagi ini Amirah dibawa ke Klinik Taman Ehsan untuk pemeriksaan.

Setengah jam menunggu untuk mendapatkan nombor giliran dan sejam menunggu sebelum tertera nombor giliran masuk ke bilik doktor.

Doktor mengesahkan Amirah dihidapi penyakit kaki, tangan dan mulut dan perlu dikuarantin di rumah.

Mak maklumkan pada atuk & opah.

Atuk & opah cadangkan Amirah dikuarantin sahaja di kampung untuk menjalani proses penyembuhan.

Mak & abah setuju.

Di waktu petang, Amirah sudah boleh menyusu sedikit dan kurang meragam. Mungkin berpunca dari perut yang kosong dan mengantuk menyebabkan Amirah menangis dan marah tanpa henti sebelum ini.

Sebelum Maghrib, atuk & opah sampai di rumah.

Amirah, mak dan Ilyaas bersama atuk & opah bergerak meninggalkan abah keseorangan, menuju ke kampung halaman.

Jadi hingga setakat ini, Amirah pernah diwadkan kerana demam kuning, diwadkan sekali lagi kerana masalah paru-paru, menghidapi jangkitan di telinga kiri dan kanan sehingga bernanah, dan yang terbaru ini - penyakit kaki, tangan dan mulut.

Mak & abah doakan moga Allah menyembuhkan Amirah dan menjauhkan miyah una dan iyash dari segala macam jenis penyakit yang semakin banyak menular di negara kita sekarang ni.

Mungkin ini adalah ujian untuk Amirah...

...atau untuk abah & mak?

17 Mei 2009

Amirah demam

Dikala abangnya menggenapi usia 3 tahun, Amirah memulakan harinya dengan menerima kehadiran demam apabila bangun dari tidur di sebelah pagi.

Dengan lelehan air liur yang luarbiasa banyaknya mengiringi demam Amirah, dianggap sebagai petanda bahawa giginya mungkin akan keluar tidak berapa lama lagi.

Walaupun sudah mencecah usia hampir sepuluh bulan, tidak kelihatan walau seurat gigi pun yang terpacul dari gusinya.

Ilyaas 3 tahun


Ilyaas genap 3 tahun hari ini.

Mak belikan kek untuk Ilyaas. Kek yang ada patung watak kegemaran Ilyaas - 'Cacak-mamen' a.k.a Spiderman/Cicakman.

Ilyaas tak sabar-sabar nak buka plastik kek tu.

Bukan kerana lapar nakkan kek tu, tapi kerana nakkan cacak-mamen yang ada diatasnya.

"Ucapan Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran Ilyaas Ahmad Husaini yang ke 3 dari mak dan abah "